Friday 27 February 2015

KAD HIJAU

Pekerja binaan perlu Kad Hijau

Kementerian Sumber Manusia menyarankan semua pekerja tempatan dan warga asing dalam sektor industri pembinaan memiliki Kad Hijau bagi mengurangkan kadar kemalangan yang semakin meningkat di sektor itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kad itu dapat memastikan pekerja di sektor pembinaan mempunyai pengetahuan am mengenai keselamatan serta kesihatan di tempat kerja.
Menurutnya, berdasarkan laporan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), lebih 4,500 kes kemalangan di sektor pembinaan dilaporkan tahun lepas termasuk 80 kes membabitkan kematian.
Jumlah kes itu ujar beliau, boleh dikurangkan dengan meningkatkan tahap kesedaran pekerja dalam aspek standard keselamatan di tempat kerja.

"Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengambil inisiatif memastikan semua pekerja dalam sektor pembinaan memiliki Kad Hijau bagi menunjukkan mereka sudah mempunyai latihan dan keselamatan sebelum memulakan pekerjaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Tahunan anjuran Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), di sini hari ini.
Program Kad Hijau yang mula diperkenalkan 13 tahun lalu itu merupakan antara inisiatif CIDB dalam mewujudkan dan melaksanakan sistem pengurusan keselamatan di tapak binaan.
Selain memastikan pekerja menyedari kepentingan untuk tempat kerja yang selamat dan sihat ia juga bertujuan memberikan maklumat mengenai keperluan undang-undang dalam menjaga kebajikan mereka.

Jelas Subramaniam, CIDB akan memberi Kad Hijau kepada hampir 50,000 pekerja di sektor pembinaan setiap tahun.



Katanya, kad itu dilengkapi perlindungan insurans dan boleh membantu pekerja mendapat bantuan serta rawatan segera jika berlaku kemalangan di tempat kerja.
Menurut beliau, pekerja boleh memperoleh Kad Hijau daripada CIDB selepas menjalani kursus Induksi Keselamatan dan Kesihatan selama sehari.
Dalam perkembangan lain, Subramaniam menjelaskan, Malaysia telah disenaraikan di bawah Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sejak 8 Jun 2012.

"Dengan penyenaraian ini, Malaysia bersetuju berada di bawah penelitian ILO mengenai perkara-perkara berkaitan dengan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta mematuhi piawaian tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment